KOMPETENSI GURU DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN





Guru-guru yang kompeten adalah mereka yang pakar dalam pengetahuan kandungan subjek dan mampu menguruskan kakitangan, alat bantu mengajar dan bilik darjah secara berkesan (Nur Mustafa, 2013). Guru-guru yang mempunyai tahap kecekapan profesional yang tinggi akan dapat melahirkan pelajar yang berketerampilan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam mereka persekitaran.

Kompetensi guru dari aspek kemahiran mengajar akan mempermudahkan aktiviti pengajaran yang sistematik, langkah demi langkah iaitu daripada peringkat permulaan diikuti dengan perkembangan konsep melalui penggunaan ilmu pengetahuan serta kemahiran dan diakhiri dengan aktiviti peneguhan dan pengukuhan. Kesannya, guru akan berjaya memotivasikan pelajar-pelajar dan menarik perhatian mereka supaya bersedia mengikuti pengajaran guru dengan penuh minat. Pada akhirnya sudah pasti kandungan pelajaran dapat disampaikan kepada pelajar mengikut langkah tertentu dan dengan cara yang sistematik serta menepati masa pembelajaran yang ditetapkan.

Melalui kaedah yang sistematik tersebut, pelajar-pelajar akan terangsang untuk turut sama terlibat dalam aktiviti P&P secara aktif. Komunikasi pelbagai hala akan terhasil daripada proses tersebut dan proses P&P menjadi lebih menarik serta bermanfaat kepada pelajar. Dalam konteks kajian ini hanya tiga kemahiran guru yang diberi perhatian dan ditekankan oleh penyelidik dalam melihat hubungan antara pengaruh kompetensi guru terhadap pencapaian prestasi akademik pelajar dalam mata pelajaran Sejarah iaitu Kemahiran Mempelbagaikan Strategi Pengajaran (KMSP), Kemahiran Membuat Penilaian Pembelajaran (KMPP) dan Kemahiran Penggunaan Teknologi Maklumat (KPTM) dalam kalangan guru Sejarah.

Comments