Tugas guru bukan sahaja mencurahkan ilmu kepada pelajar malah guru juga perlu membimbing pelajar tersebut bagi melahirkan generasi yang berkualiti. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (1984) telah menggariskan prinsip-prinsip bimbingan dan kaunseling yang sesuai digunakan di Malaysia. Antaranya ialah bimbingan dan kaunseling adalah proses pendidikan. Hal ini merupakan proses yang dirancang secara berterusan. Guru sebagai pembimbing dan kaunseling perlu menitikberatkan keperluan-keperluan yang diperlukan oleh pelajar bagi mengatasi masalah dan membolehkan pelajar mempunyai peluang bagi mendapatkan pertolongan.
Cabaran yang dihadapi oleh para guru bimbingan dan kaunseling ialah pengurusan dan pentadbiran yang tidak terancang. Individu yang bergelar kaunselor pada asasnya terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran. Terdapat beberapa tugasan yang perlu dilakukan oleh seorang kaunselor yang terlibat dalam pengurusan antaranya ialah mengurus, menyelia sistem fail. Kaunselor bertanggungjawab terhadap segala pengurusan segala jenis fail yang telah diwujudkan. Pihak pengurusan dan pentadbiran yang meletakkan tanggungjawab kepada seseorang kaunselor menyebabkan individu ini tidak dapat memberi komitmen dalam tugas utama mereka. Umumnya, seseorang kaunselor tidak boleh diberi tanggungjawab luar daripada bidang mereka. Hal ini demikian kerana ini menjejaskan kualiti bimbingan dan kaunseling.
Cabaran seterusnya, tahap pemikiran ibu bapa yang tidak mahu berubah ke arah hadapan. Dalam konteks ini, guru kaunseling mengalami kekangan daripada pihak ibu bapa. Hal ini demikian kerana, pihak ibu bapa mengganggap anak-anak yang berjumpa dengan pihak kaunseling merupakan anak-anak yang telah melakukan kesalahan. Sikap ibu bapa yang tidak terbuka menyukarkan pihak kaunseling untuk membantu anak-anak mereka mencapai keputusan dan kecemerlangan yang dapat dibanggakan.
Cabaran terakhir ialah peruntukkan kepada unit kaunseling yang sedikit. Pihak kaunseling perlu mencari inisiatif lain bagi mewujudkan program pembangunan diri di mana ia melibatkan pendedahan mengenai dadah, merokok dan HIV. Bagi menganjurkan program-program sedemikian, pihak kaunseling mengalami kekangan kewangan kerana pihak kaunseling tidak diberikan keutamaan. Maka pihak kaunseling perlu bekerja keras bagi memperoleh penaja bagi program yang dianjurkan untuk para murid sekalian.
Comments
Post a Comment